Wednesday, 23 October 2013

Siapa Kita Untuk MengHukuM???



*..lama ana x update blog... Alhamdulillah, hari ini diberi kesempatan oleh-Nya untuk ana berkongsi ilmu... Insyaallah, bersama-sama kita ambil manfaat dari perkongsiaan ilmu ini... tiada yang sempurna.. Melainkan Allah s.w.t, pencipta kita... Allahu’akhbar... ^_^

Aku adalah aku dan bukan dia ataupun mereka. Aku dengan segala kelebihan dan kekuranganku menjadikan diri ini berbeza dari mereka. Perbezaan bukanlah sesuatu yang patut dipersalahkan, ini kerana perbezaan di kalangan kita adalah hakikat dan sudah pasti wujud. Dengan menyedari bahawa perbezaan itu adalah realiti kehidupan maka tidak perlulah kita sibuk memikirkan, sibuk mencela, dan sibuk mengorek-ngorek kekurangan orang lain......***

Siapa Kita Untuk Menghukum???

OLEH: TUAN HAJI ABANG SHIBLI BIN HAJI ABANG MOHD NAILIE.

Tiada yang akan menang jika kita masih melihat sifat-sifat buruk orang lain, mencela orang lain dan merasa bangga bahawa diri saja yang benar. Sedarlah kawan, kita juga mempunyai kekurangan dan sifat yang dibenci oleh orang lain. Kita hanya mampu berusaha untuk menjadi lebih baik dan hakikatnya tidak seorang pun manusia dapat menjadi sempurna. Belajarlah untuk melebarkan ruang maaf dalam hati ini. Belajarlah juga untuk menerima maaf seorang teman dan juga sebaliknya belajarlah memohon kemaafan kepada orang lain yang pernah kita sakiti. Apabila kita dapat dengan tulus ikhlas mengucapkan kata maaf itu ertinya kita telah sedar bahawa dalam diri ini masih terdapat banyak kekurangan. Di sebaliknya, apabila kita dapat tulus ikhlas menerima maaf daripada orang lain, bererti kita dapat memahami kekurangan yang di miliki orang lain. Rendahkan egomu kawan. Berilah ruang kepada orang lain untuk membuat apa yang terbaik bagi kita semua..*

PERBAIKI DIRI SENDIRI TERLEBIH DAHULU....???

Semua kita tentu masih ingat tentang peringatan keselamatan sebelum kapal terbang berlepas. Antaranya yang berbunyi : “Jika tekanan udara turun, bertindak segera untuk menggunakan topeng oksigen. Jika ingin hendak membantu orang lain, anda hendak terlebih dahulu menggunakan topeng oksigen itu.”

            Oleh itu, sebelum kita hendak membicara atau memperbaiki kelemahan orang lain, sebaiknya kita terlebih dahulu memperbaiki kelemahan diri kita sendiri. Mengikut analogi di atas, jika kita mendahulukan orang lain menggunakan topeng oksigen, maka kita sendiri akan berada dalam keadaan merbahaya dan bagaimana hendak menolong orang lain..??? Justeru, perbaikilah diri dahulu dengan segala perintah dan ajaran dalam islam. Sebagai manusia yang beriman kepada Allah s.w.t, maka kita semua pasti yakin terhadap pahala, dosa, syurga dan neraka.

Kita semua juga tahu bahawa kelak pasti kita akan meninggalkan dunia ini. Apa yang kita bawa ke alam selepas mati nanti hanyalah amalan kita dibumi ini samaada yang baik mahupun yang buruk. Persoalannya, pernahkah kita risau terhadap diri kita sendiri...???

            Jika kita amati, pada zaman sekarang ini terlalu ramai daripada kalangan masyarakat yang terlalu sibuk menyemak memuhasabah dan menilai amalan orang lain berbanding dirinya sendiri. Bukankah kita nanti akan juga meninggalkan dunia ini seperti yang lain....???
Selain itu, ada juga yang suka mencari keaiban saudara seislamnya dengan beralasankan agama iaitu mencegah kemungkaran kononnya kata mereka. Ada juga yang menjadikan agama sebagai alat untuk menilai dan mengukur diri orang lain. 

            Sebenarnya, agama mengajar kita untuk mencegah kemungkaran dengan hikmah dan bukan main hentam sembarangan.

Apa yang dapat kita lihat pada zaman sekarang adalah orang yang gemar menilai amalan orang lain dan merasakan dirinya telah cukup baik dan mempunyai amal ibadah yang banyak. Sedangkan dia tidak tahu bahawa segala amal solehnya itu terbakar begitu sahaja kerana sikapnya yang sibuk memburuk dan menyalahi sesama manusia.

            Kita adalah mahkluk yang lemah, akal kita amat terhad. Apa yang ada dalam hati manusia lain kita tidak pernah tahu, sebab itu kita tidak dibenarkan menghukum orang lain dengan apa yang kita lihat. Kadang-kadang buruk didepan mata, tetapi niatnya baik. Sama-samalah kita bersangka baik. Apa yang tidak jelas bertanyalah terus kepada tuan empunya badan, elakkan sangka menyangka kerana sifat yang demikian akan membesarkan lagi masalah dan boleh merenggankan ukhwah yang terbina selama ini. 

Perkongsian tentang kisah seorang guru yang ingin menguji dua orang anak muridnya. Beliau telah mengarah kedua-dua muridnya untuk mengembara dan saling mengawasi antara satu sama lain. Tujuan guru itu berbuat demikian adalah untuk mengetahui siapakah muridnya yang paling sedikit membuat kesalahan.

Pada akhir pengembaraan, guru itu telah memanggil kedua-dua muridnya dan memberi mereka kesempatan untuk menyenaraikan kesalahan temannya. Murid pertama telah menceritakan keseluruhan kesalahan temannya. Jumlahnya banyak sekali. Apabila tiba giliran murid kedua pula, beliau terus berkata : “Guru, teman saya ini melakukan kesalahan yang sama banyaknya dengan saya ini Namun, mengingatkan terlalu banyaknya kesalahan yang sudah saya lakukan, saya tidak mempunyai masa untuk menceritakan kesalahan teman saya. Sekarang saya memohon diri untuk memperbaiki diri yang lemah ini.! Beliau terus beredar. 

Setelah melihat apa yang berlaku itu, guru tersebut terus memberi hadiah berupa wang kepada murid yang pertama sesuai dengan yang dijanjikannya. Kepada murid kedua pula, guru itu berjanji dalam dirinya untuk memberi sokongan dan bantuan kepada murid tersebut untuk memperbaiki dirinya. Ikhtibar daripada kisah ini mengingatkan kita bahawa orang yang lebih bermaruah hanya berlaku bagi orang yang menyedari kelemahan dirinya sendiri dan bukan mereka yang sibuk dengan kesalahan dan kelemahan orang lain. Justeru, perbaikilah diri sendiri dahulu daripada kita sibuk tentang kelemahan orang lain.

SIAPA KITA HENDAK MENGHUKUM...????

Kerja menilai amal orang lain adalah kerja Allah s.w.t Tuhan Yang Maha Agung. Kita sebagai manusia perlulah risau tentang diri kita dan orang dibawah tanggungjawab kita dahulu. Selalulah dengan melihat kebaikan orang lain dan dapat berusaha melihat keburukan diri sendiri agar dapat diperbaiki.

Sejahat manapun anggapan seorang insan terhadap insan yang lain jika Allah hendak mengurniakan hidayah dengan sekelip mata dia boleh berubah. Mungkin “dia” boleh berubah dengan lebih baik dari “orang” yang menganggapnya jahat. Siapa kita hendak menghukum insan yang lain dengan mengatakan dia baik ataupun jahat. Kita sebagai insan yang dhaif pun belum tentu baik ataupun betul.

Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui. Siapa pun kita, selagi kita bergelar manusia, takkan ada manusia yang tidak berbuat kesilapan. Kemahuan diri sendiri untuk berubah itu yang perlu, kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang insan selagi insan itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Ingatlah bahawa kita hidup bukan kerana pujian dan tak mati dek kerana keji. Dengan izin Allah jika semuanya berlaku bukan pujian dan kejian jadi penentu. Lakulah sesuatu semata-mata kerana Allah, maka jangan khuatir dengan keikhlasan perlakuan tersebut. Di sana-sini, cubaan untuk menjadikan manusia riyak, takbur dan ujub dalam diri sentiasa ada. Maka pendinding kepada cubaan-cubaan tersebut ialah dengan sentiasa beristighfar dan memohon keampunan Allah.

Wallahu’alam Bissawab... *