|
Kawasan Masjid-Al-Aqsa |
Usaha terancang Zionis untuk roboh al-AqsaMENGIKUT sejarah, Masjid al-Aqsa bermaksud ‘Masjid Paling Jauh’, terletak di Baitulmaqdis atau ‘Jerusalem’ bagi orang Yahudi.
Masjid
itu terbina di kawasan Haram al-Sharif atau ‘Temple Mount’ yang juga
dituntut Yahudi kononnya menempatkan kuil yang pernah dibina di
Baitulmaqdis.
Tidak jauh dari Masjidil Aqsa ialah Kubah Batu atau
‘Qubbat As-Sakhrah’ yang asalnya batu besar tempat Nabi Muhammad
berdiri naik ke langit ketika peristiwa Israk Mikraj.
‘Qubbat
As-Sakhrah’ yang kini dipanggil Masjid Kubah Batu juga dikenali sebagai
Masjid Umar, tempat Saidina Umar al-Khatab bersolat ketika tiba di
Baitulmaqdis.
Masjid al-Aqsa adalah tempat suci kepada umat
Islam, begitu juga dengan ‘Qubbat As-Sakhrah’ dan kawasan sekitarnya
kerana terletak dalam Haram al-Sharif. Keseluruhan kawasan ini
dimaksudkan sebagai Masjidil Aqsa, bukannya al-Aqsa saja kerana al-Aqsa
dibina selepas penaklukan Baitulmaqdis oleh tentera Islam. Nama masjid
itu diambil sempena nama Masjidil Aqsa dalam al-Quran.
Masjid
al-Aqsa ialah tanah suci ketiga selepas Makkah dan Madinah. Umat Islam
percaya Nabi Muhammad SAW dibawa dari kota suci Makkah ke al-Aqsa pada
malam Israk Mikraj. Masjid terbesar di Baitulmaqdis itu boleh memuatkan
kira-kira 5,000 jemaah di dalam dan kawasan sekitarnya.
Ia pernah
menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum dipindahkan ke Baitullah
al-Haram di Makkah dan menjadi masjid yang kedua dibina selepas Kaabah.
Jarak masa pembinaan antara Kaabah dan al-Aqsa ialah 40 tahun.
Masjid
itu pada awalnya sebuah rumah ibadat kecil dibina oleh Khalifah kedua
Islam, Umar al-Khattab di kawasan seluas 25 hektar pada 638 Masihi (M),
namun dibina semula dan diperluaskan oleh Khalifah Abdul Malik ibni
Marwan dan disiapkan anak lelakinya Al Walid ibni Abdul Malik pada 705M.
Gempa
bumi pada 746M memusnahkannya sebelum dibina semula oleh Khalifah
Abbasiyah, Al-Mansur pada 754M dan diteruskan penggantinya, al-Mahdi
pada 780M. Satu lagi gempa memusnahkan sebahagian besar al-Aqsa pada
1,033M, namun dua tahun kemudian Khalifah Ali az-Zahir membinanya semula
yang kekal sehingga hari ini.
Ketika tempoh pengubahsuaian
dijalankan, pelbagai dinasti pemerintahan Khalifah Islam membina ruang
tambahan selain kubah, bahagian hadapan, mimbar, menara dan struktur
dalaman.
Apabila Tentera Salib menawan Baitulmaqdis pada 1,099M,
mereka menggunakan masjid itu sebagai istana dan gereja, namun fungsinya
sebagai masjid dikembalikan selepas ia dirampas panglima Islam,
Sallahuddin al-Ayyubi. Kini kota lama itu berada di bawah kawalan
Israel, namun Masjid al-Aqsa ditadbir wakaf Islam Pihak Berkuasa
Palestin.
Laporan terbaru menyatakan, Masjid al-Aqsa terancam dan
boleh roboh kerana kegiatan menggali oleh Pihak Berkuasa Antikuiti
Israel. Kerja penggalian itu berlaku sejak sepanjang 1970-an lagi. Pada
masa itu, Israel memperhebat penggalian di bahagian bawah masjid
termasuk di selatan dan baratnya.
Pada 1977, penggalian itu
diteruskan dan sebuah terowong besar dibuka di bawah kawasan solat
wanita. Satu terowong baru digali pula di bawah masjid, dari timur ke
barat pada 1979. Sebagai tambahan, Jabatan Arkeologi Kementerian Hal
Ehwal Agama Israel menggali sebuah terowong berhampiran bahagian barat
masjid pada 1984.
Ketika memulakan projek penggalian terbabit,
Israel mendakwa mereka mencari tempat ibadat Nabi Sulaiman. Mereka gagal
menemui lokasinya, sebaliknya menemui terowong Raja Jehoiachin (Raja
Baitulmaqdis).
Israel mendakwa, penggalian itu satu kejayaan
kerana menemui runtuhan terowong Raja Jehoiachin, yang tidak berkaitan
langsung dengan tempat ibadat Nabi Sulaiman. Terowong itu tidak dianggap
penting dari segi agama tetapi sejarah. Pintu masuk terowong kemudian
ditutup dan pada hari ini ia dibuka semula tanpa sebarang justifikasi.
Kepentingan
berhubung isu penggalian terbabit ke atas umat Islam tidak perlu
dijelaskan. Mereka umumnya bimbang Masjid al-Aqsa dan asasnya akan rosak
dek kerja penggalian itu.
Malah, apakah manfaatnya penggalian
itu kepada penduduk Yahudi tidak difahami kerana hakikatnya tiada
kepentingan langsung dari segi agama.
Pada Februari 2007, jabatan
arkeologi terbabit mula menggali di lokasi bagi membina semula laluan
jalan kaki yang runtuh. Tapak itu terletak 60 meter dari Masjid al-Aqsa,
mencetuskan kemarahan umat Islam dan Israel dituduh cuba memusnahkan
asas masjid.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniya menggesa rakyat
Palestin bersatu bagi membantah penggalian itu, sementara pemimpin Fatah
mengancam menamatkan gencatan senjata dengan Israel.
Dalam
laporan Pusat Media Antarabangsa Asia Barat (IMEMC) Februari 2008,
sekumpulan pembuat dasar Hamas yang ditahan Israel menggesa rakyat
Palestin menyekat rancangan baru Yahudi menggali terowong baru di bawah
Masjid al-Aqsa.
Pembuat dasar Palestin yang ditahan di penjara
Ayalon itu, percaya apa yang berlaku adalah satu lagi cubaan Israel
untuk menghapuskan sejarah Arab dan Palestin di Baitulmaqdis.
Mereka
menggesa dunia Arab dan Islam membantu mereka melindungi Baitulmaqdis
dan kawasan suci Islam. Mereka juga berkata, perpecahan di kalangan
penduduk Palestin menggalakkan Israel melakukan sesuka hati di
Baitulmaqdis dan Masjid al-Aqsa.
Akhbar Haaretz pada 31 Januari
2008 mengesahkan laporan bahawa Israel mengambil keputusan memulakan
penggalian sebuah terowong baru di kawasan yang disebut.
Pada
Ogos 2008, sumber Israel melaporkan, Menteri Luar Jordan, Salah Bashir,
bertemu duta Israel di Jordan untuk membantah penggalian berhampiran
Masjid al-Aqsa. Jordan berkata penggalian itu akan mencetuskan gelombang
keganasan baru di Asia Barat dan Baitulmaqdis adalah Garisan Merah bagi
semua penduduk Arab dan Islam.
Mohammad Abu Hdeib, ketua
jawatankuasa Parlimen Jordan berhubung hal ehwal antarabangsa,
menyatakan bahawa Bashir memaklumkan duta Israel bahawa Jordan membantah
langkah dijalankan Israel dan menambah bahawa penggalian berhampiran
Pagar Mughrabi yang menghala ke Masjid al-Aqsa melanggar perjanjian
damai 1994 di antara Jordan dan Israel.
Abu Hdeib berkata, penggalian oleh Israel dan rancangan keseluruhannya mengancam asas Masjid al-Aqsa.
Dalam
laporan lain pada November 2009, Yayasan Wakaf dan Warisan al-Aqsa
mendedahkan, Israel mula menjalankan kerja penggalian di laluan
Al-Sharif, berpuluh meter dari bahagian barat Masjid al-Aqsa, dalam
persediaan membina dua terowong dan dua lif bagi menghubungkan antara
laluan itu termasuk Al Buraq dan Pagar Mugharabi.
Yayasan itu
berkata, tujuan membina terowong dan membina lif ialah ‘membawa penduduk
Yahudi ke barat dan pintu Masjid al-Aqsa, terutama di pagar Mugharabi,
lokasi pelancong asing dan Yahudi menyerbu masuk Masjid al-Aqsa.”
Yayasan menganggapnya projek ‘mengyahudikan’ Masjid al-Aqsa.” Malah,
pihaknya mendapati kerja penggalian dijalankan Pihak Berkuasa Antikuiti
Israel, termasuk di lorong Al-Sharif.
Yayasan itu mendedahkan
dalam satu laporan 3 Mac 2009, hasrat Israel dan sayap eksekutifnya
menggali dua terowong baru, satu daripadanya sepanjang 56 meter dan satu
lagi 22 meter bagi menghubungkan lorong Al-Sharif Palestin di Kota Lama
ke Baitulmaqdis. Kawasan yang dimaksudkan terletak di dalam sempadan
Kota Lama seluas lebih 133 meter persegi yang diduduki Israel pada 1967.
Ia
juga mendedahkan keinginan Israel memasang lif elektrik dalam terowong
menegak dan koridor elektrik di terowong memanjang. Lokasi dua terowong
itu menjadi titik pertemuan beberapa tapak arkeologi, bagi Israel
membangunkan satu sejarah ilusi Yahudi.
Ia menjelaskan bahawa
projek mengyahudikan itu menelan belanja 10 juta shekel (RM8.35 juta)
dan akan dilaksanakan dengan kerjasama antara perbandaran jajahan
Baitulmaqdis, syarikat pembangunan dan pemuliharaan penempatan Yahudi,
Pihak Berkuasa Monumen dan Institut Insurans Nasional. Projek itu akan
dibiayai menerusi sumbangan Baruch Klein, seorang ahli perniagaan
Israel-Amerika Syarikat.
Penggalian terowong itu sampai ke
kemuncaknya apabila yayasan terbabit mendedahkan penggalian skala besar
dijalankan Israel di kawasan bersambungan ke dinding selatan Masjid
al-Aqsa, juga dikenali sebagai Istana Umayyad.
Sesetengah kerja
penggalian dikatakan dilakukan pada waktu malam terutama dalam tangki
air terletak di kawasan menghala ke kawasan bawah tanah masjid
berkenaan. Yayasan memberi amaran mengenai risiko dan kesan penggalian
itu ke atas masjid suci umat Islam selain ‘usaha segera mengyahudikan’
kawasan itu oleh kerana ia bersambung ke dewan solat Marwani di dalam
masjid.
Kawasan penggalian berselerak dilakukan di kawasan barat
daya berhampiran tapak yang mengelilingi kawasan asal masjid, yang
digelar ruangan Al-Khanthaniyya, dan di kawasan tengah serta timur ke
barat.
Yayasan memberi amaran bahawa penggalian itu bertujuan
melemahkan struktur asas Masjid al-Aqsa kerana pada masa lalu, kerja
penggalian sama menyebabkan rekahan dan retakan di bahagian selatan
dinding masjid, sekali gus berisiko merobohkan mercu tanda umat Islam.
Amaran
itu sekali lagi dinyatakan Ketua Hakim Pihak Berkuasa Palestin (PPA),
Sheikh Tayseer Tamimi kepada IMEMC yang bimbang Masjid al-Aqsa, yang
kini terjejas akibat rekahan dan retakan pada dindingnya, memberi tanda
akan roboh pada bila-bila masa, akibat penggalian skala besar dilakukan
Israel di bawahnya.
Ia berikutan kakitangan Pihak Berkuasa
Antikuiti Israel yang bekerja pada waktu malam membawa keluar
berpuluh-puluh beg berisi batu dari kawasan selatan masjid.
“Israel
perlu bertanggungjawab atas sebarang kerosakan atau runtuhan yang
berlaku di Masjid al-Aqsa dan kawasan sekitar yang membabitkan kawasan
penganut Kristian,” kata Tayseer yang dipetik agensi berita Maan.
Ulasannya
berikutan runtuhan kawasan penduduk di Silwan, timur Baitulmaqdis pada
11 Januari lalu, meninggalkan lubang sedalam 12 meter persegi di tengah
jalan Wadi Hilwah.
Pada masa sama, beliau merujuk peningkatan
kehadiran pelampau Yahudi, selain pencerobohan tentera di al-Aqsa, dan
terbaru kemasukan 50 pelajar daripada pelbagai jabatan arkeologi
universiti Israel untuk menjalankan penyelidikan dan pendatang Yahudi
ketika wanita Islam bersolat.
Jawad Siyam, Ketua Pusat Penerangan
Wad Hilwa memberitahu agensi Maan bahawa runtuhan baru itu sedalam 10
meter, dan terletak hanya beberapa meter dari satu lagi runtuhan minggu
lalu akibat kerja penggalian berterusan Israel.
Juga air hujan mula membanjiri Al Ein, kawasan masjid berhampiran di mana penggalian bertumpu.
Pusat
Hak Sosial dan Ekonomi Baitulmaqdis (JCSER) melaporkan kejadian Isnin
lalu hanya satu daripada beberapa siri runtuhan sama yang berlaku pada
2009. Runtuhan terbaru berlaku di sebuah sekolah tempatan untuk
perempuan, di mana 17 pelajarnya cedera.
JCSER mengakui
penggalian Israel itu menyebabkan kerosakan struktur kepada beberapa
premis di kawasan itu terutama di masjid Al Ein.
Pusat itu juga
memberi amaran beberapa siri runtuhan bakal berulang di Silwan dan Kota
Lama ketika Israel menjalankan kerja mengorek bagi membina satu
rangkaian terowong di kawasan itu. Penggalian itu sudah sedia
menyebabkan kerosakan struktur ke atas berpuluh bangunan di kawasan
terbabit.
Memetik kata-kata pengarah Wakaf Palestin Adnan
Husseini pada 2002; “Pihak berkuasa Israel perlu bertanggungjawab ke
atas kehilangan nyawa akibat runtuhan dinding masjid.”
matlamat orang yahudi mereka tetap ingin bina haikal Sulaiman (the solomon tample) ini merupakan satu penghinaan kepada Nabi Sulaiman yang sebelum ini tidak pernah menyekutukan Allah s.w.t.. dan kita sebagai umat islam seharusnya bersatu dalam menegakkan agama Allah s.w.t ini....
Adakah
umat Islam di seluruh dunia hanya mampu melihat Masjid al-Aqsa runtuh
begitu saja? Atau mampukah kita melihat Masjid al-Aqsa diyahudikan?
Inikah petanda akhir zaman? Itulah antara persoalannya.